Oleh: Suhaimi Al-Maniri
Beberapa tahun kebelakangan ini satu budaya media baru menerusi blog, social media seperti facebook, twitter dan lain-lainnya telah mula menguasai ruang maya di internet.
Blog yang mulanya digunakan untuk memaparkan hal-hal sosial untuk dikongsi oleh keluarga dan rakan-rakan telah bertukar menjadi satu media baru bila blogger-blogger khususnya dikalangan wartawan-wartawan dan ahli-ahli politik mula mengambilnya sebagai satu media untuk menyampaikan pandangan peribadi masing-masing.
Sungguhpuin blog ini adalah milik peribadi, tetapi disebabkan seseorang itu terikat dengan sesuatu organisasi sama ada parti-parti politik dan sebagainya, maka susah untuk dipisahkan yang mana peribadi dan yang mana mewakili organisasi.
Setahun dua kebelakangan ini, blog-blog tumbuh macam cendawan selepas hujan. Blog sudah dianggap sebagai satu keperluan Bagi yang tiada blog dianggap sudah ketinggalan zaman. Tidak cukup dengan itu pimpinan-pimpinan parti-parti politik juga mengadakan blog masing-masing untuk menyampaikan pandangan peribadi.
Malah ada yang lebih jauh lagi, apa yang dia cakap dalam mesyuarat pun tulis dalam blog, kemudian tanya pendapat pembaca yang tidak ada kena mengena dengan mesyuarat tersebut.
Lebih teruk daripada itu, hal ehwal dalam organisasi yang hanya perlu diketahui oleh ahli mesyuarat berkenaan sahaja pun telah didedahkan sewenang-wenangnya mengikut perspektif masing-masing tanpa memikirkan kesan jangka panjang dan impak-impak lain yang mungkin timbul dari tindakan tersebut.
Mereka telah menjadikan seolah-olah blog itu adalah segala-galanya bagi meluahkan perasan kepada individu lain ataupun organisasinya sendiri jika tidak memenuhi kehendak mereka.
Disebabkan keberkesanan media baru ini, parti-parti politik mula berlumba-lumba untuk mendapat perhatian dan simpati blogger-blogger. Tidak cukup dengan itu, saya diberitahu adalah yang mengupah blogger-bloger menjadi cyber trooper bagi memantau perkembangan blog-blog tertentu dan meneutralkan keadaan.
Dalam sesetangah keadaan, blogger-blogger yang ternama ini akan menjadi anak emas kepada pihak-pihak tertentu. Malah ada blogger tertentu yang mungkin dilayan lebih dari ketua pengarang sesebuah media.
Kenyataan Media: Ahli PAS Kena Bijak Menghadapi Fitnah Media
Saya tertarik dengan kenyataan media Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad berhubung dengan perkara ini. Berikut adalah sedutan kenyataan beliau dalam laman web rasmi parti tersebut (http://www.pas.org.my);
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengingatkan setiap ahli agar bijak dalam membaca sebaran berita di internet khususnya dalam blog, facebook dan juga media massa lainnya. Pada waktu ini PAS mendapati semakin banyak tuduhan liar dilontarkan oleh CyberTrooper Umno yang menyamar sebagai ahli PAS atau wakil pimpinan PAS di dalam media alternatif ini.
Sehubungan dengan itu, kewujudan fitnah seolah-olah wujudnya pertemuan sulit pimpinan PAS yang Pro Unity Goverment dan Pro-Erdogan wajar difahami ahli sebagai satu gerak kerja saraf Umno untuk memecahkan parti ini kepada dua kelompok. Sesungguhnya tiada sebarang pertemuan sulit yang dilaporkan dan belum ada bukti yang diterima diperingkat kepimpinan PAS tentang kewujudan dua kumpulan ini melainkan individu-individu yang berbeza pandangan dengan pimpinan.
PAS melihat, selain jalan Musyawarah perlu juga Laporan Disiplin dibuat bagi mengesahkan setiap tuduhan yang dibuat untuk memudahkan kita mengetahui asal punca masalah ini. Lembaga Disiplin PAS juga membuka ruang yang seluas-luasnya terhadap mana-mana pimpinan dan ahli yang mempunyai bukti mengenai fitnah ini atau mereka-mereka yang menyebarkan berita bahawa terdapat segelintir pimpinan PAS sedang berusaha membawa PAS bergabung dengan Umno untuk membuat Laporan Disiplin. Jika ada laporan dan bukti yang sahih kita akan membuat keputusan, walaupun yang didakwa itu Mursyidul Am, Presiden atau mana-mana pemimpin tertinggi parti sekalipun.
PAS yakin kerja-kerja fitnah CyberTrooper Umno dan mereka-mereka yang kononnya menjadi ahli PAS tetapi bekerja untuk Umno akan mati dengan sendirinya jika sebarang Laporan Disiplin gagal dibuat dan tiada sebarang pembuktian diserahkan kepada pihak Lembaga.
PAS meminta ahli bertenang dan tidak membuat sebarang ulasan terbuka mengenai perkara ini dan memberikan ruang kepada pemimpin bermusyawarah bagi mencari punca masalah ini. Gunakanlah saluran yang ada (Lembaga Disiplin) bagi mencari kebenaran dan menguatkan ukhuwwah dalam parti.
Marilah kita bersama-sama melakukan solat hajat moga mereka yang cuba menganiaya parti ini diberikan hidayah oleh Allah untuk menginsafi perbuatan mereka. Kita mohon pada Allah semoga PAS dileraikan dari belenggu fitnah dan perjuangan kita terus mendapat hidayah dariNya.
Artikel ini disiarkan untuk akhbar Siasah
No comments:
Post a Comment